Wednesday, March 16, 2011

Sikap Tidak Tanggungjawab Pihak Kedutaan



  



Syari' Thalathin, 12 Mac - Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) telah menganjurkan perjumpaan tergempar bersama-sama ahli PERMAYA hari ini akibat keadaan Sana'a, ibu negara ini semakin huru-hara setelah kejadian dahsyat pagi tadi yang telah melibatkan beratus cedera, 80 parah dan 3 orang mati di kawasan Dairy.

Perjumpaan tergempar ini bertujuan untuk mengumpul suara ahli-ahli PERMAYA untuk dibawa ke pihak kedutaan supaya pihak kedutaan menyediakan kos atau kapal terbang seperti mana di Mesir baru-baru ini untuk pelajar-pelajar Malaysia di Yaman pulang ke Malaysia.

Selepas mana semua ahli-ahli PERMAYA telah diminta mengisi borang kecemasan daripada pihak kedutaan, pihak kedutaan hanya mengeluarkan surat yang bertarikh 12 Mac 2011, dengan menyatakan agar semua rakyat Malaysia yang tidak mempunyai keperluan dan kepentingan yang mendesak untuk segera meninggalkan negara ini dengan menggunakan penerbangan awam yang sedia ada.

Ini menunjukkan rasa kurang bertanggunjawab pihak kedutaan terhadap tahap keselamatan pelajar-pelajar Malaysia di Yaman ini yang rata-ratanya bergantung kewangan dengan zakat negeri masing-masing.

"Kami mendapat tahu bahawa kapal terbang telah disediakan dan sekarang berada di Jeddah.

"Kapal terbang tersebut disediakan untuk membawa pulang rakyat-rakyat Malaysia di Yaman sekiranya keadaan begitu kritikal tetapi takkanlah pihak kedutaan perlu menunggu sehingga keadaan lebih teruk, bahan makanan sudah tiada, bekalan elektrik terputus, alatan komunikasi seperti internet dan telefon terputus dan sebagainya baru mahu kategorikan sebagai kritikal dan baru ingin mengambil tindakan sepatutnya?

"Sebab itulah kami berusaha mengumpulkan semua ahli PERMAYA pada malam ini bagi melihat sokongan terhadap tindakan PERMAYA yang mana, insyaallah kami daripada Exco PERMAYA bersama-sama dengan Ahli Penasihat PERMAYA akan bertemu dengan pihak kedutaan pada hari esok bagi mendesak supaya mengambil tindakan dengan menyediakan penerbangan balik ke Malaysia segera mungkin", kata Ustaz Mohammad Iqbal.

Perjumpaan tergempar pada malam ini telah di hadiri hampir 300 ahli daripada 400 ahli PERMAYA yang telah berdaftar. Program yang bermula pada jam 7.30 malam dan diakhiri pada jam 9.00 malam dengan melancarkan petisyen sebagai bukti sokongan desakan PERMAYA terhadap pihak kedutaan pada perjumpaan esok hari di pejabat kedutaan Malaysia ke Yaman.

http://www.permaya.org

No comments:

Post a Comment