Saturday, February 5, 2011

Demonstrasi dan Hak Rakyat



Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kebangkitan rakyat Tunisia yang berjaya menjatuhkan kerajaannya yang dikatakan zalim dan menindas rakyat. Kemudian kita dikejutkan sekali lagi oleh kebangkitan rakyat Mesir yang ingin menjatuhkan Hosni mubarak dan kerajaan pimpinannya. Kini rakyatYemen pula mula bangkit setelah melihat kedua-dua negara tersebut yang mana rakyat Tunisia telahpun berjaya dan rakyat Mesir kini hampir-hampir berjaya menumbangkan kerajaannya. Mengikut apa yang saya dengar selepas ini Algeria pula akan menjadi tumpuan dunia dengan kebangkitan rakyatnya. Saya percaya kebangkitan demi kebangkitan rakyat terutama di negara-negara arab ini adalah mengikut perancangan Amerika supaya mereka dapat campur tangan. Itu cuma andaian saya.


Tunisia 
Kebangkitan ini bermula di Tunisia apabila kemuncak kemarahan rakyat terhadap perdana menterinya Zainal Abiddin Ali yang dikatakan 23 tahun memerintah secara diktator dan menindas rakyat. Faktor tercetusnya revolusi ini apabila Mohammed Bouazizi seorang sarjana berumur 26 tahun yang tiada pekerjaan kesan daripada keadaan ekonomi yang teruk di negara tersebut. Beliau kemudiannya berniaga sayuran dan buahan sebagai sumber pendapatan. Perniagaan beliau diganggu oleh pemerintah dengan beberapa orang tentera merampas alatan perniagaannya. Beliau yang cuba mempertahankan barang miliknya juga dipukul oleh tentera yang bertugas tersebut. Atas tekanan itu Mohammed Bouazizi nekad membakar diri dihadapan orang ramai sebagai tanda protes terhadap Zaninal Abiddin Ali dan kerajaan pimpinannya. Mohammed Bouazizi yang berfahaman Syiah telah meniupkan semangat menentang kerajaan Tunisia terutama dikalangan pengikut Syiah. Kesannya kerajaan diktator Zainal Abiddin dapat ditumbangkan dan Tunisia diperintah oleh pemimpin yang berfahaman Syiah di tengah mejoriti Sunnah.



Mesir

Rakyat Mesir merayakan kemenangan rakyat Tunisia sekaligus meniru rivolusi tersebut. Mesir dipimpin oleh Hosni Mubarak selama 30 memerintah secara diktator dan kejam dengan menyekat kebebasan demokrasi di negara itu. Beliau juga bertindak menangkap beribu pejuang ikhwan dan pemimpin parti pembangkang. Masaalah rasuah yang sangat teruk dikalangan pemimpin atasan sehinggalah pegawai rendah dan beberapa masaalah lain yang memaksa revolusi dilakukan. Keadaan huru-hara di Mesir telah mengakibatkan kerugian berbilion usd sehingga putusnya bekalan makanan dan perhubungan terutama di bandar-bandar besar seperti Kahirah dan Iskandariah. Di Mansurah pula hampir 1000 orang banduan terlepas dari penjara. Seramai hampir 11000 pelajar kita di sana diarahkan pulang ke tanah air kerana keadaan terlalu gawat.



Yemen

Ali Abdullah Solleh yang memerintah Yemen selama 35 tahun telah menjadi antara individu terkaya di negara-negara Arab di dalam negara yang paling miskin di negara-negara Arab. Bulan april ini pilihan raya umum Yemen akan diadakan namun Amerika tidak mengiktiraf pilihan raya umum tersebut kecuali dengan persetujuan parti-parti pembangkang. Parti-parti pembangkang pula mendesak kerajaan supaya memisahkan suruhanjaya pilihan raya dari pengaruh kerajaan. Setiap kali pilihan raya umum diadakan parti kerajaan pasti memenangi hampir 95% undi sedangkan parti pembangkang terbesar iaitu parti islah  yang dipimpin oleh tokoh agama Syeikh Majed al-Zendani mempunyai begitu ramai penyokong. Rakyat Yemen juga mula keluar di jalan-jalan sebagai tanda bantahan terhadap manipulasi politik oleh pemerintah. Alhamdulillah demonstrasi di Yemen tidak begitu berjaya dan kurang mendapat sambutan, jika ia berjaya terpaksalah kami juga pulang seperti yang berlaku di Mesir.



Persoalan yang timbul

Saya dapat rasakan adanya perancangan halus yang teliti oleh Amerika ke atas negara-negara islam tersebut. Lihatlah ketiga-tiga buah negara itu semuanya Amerika telahpun campur tangan dan menyokong sepenuhnya parti pembangkang sama ada Tunisia, Mesir ataupun Yemen.

Apakah Amerika sangat perihatin terhadap umat islam di negara-negara tersebut ? ataupun mereka mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-harakan negara-negara Islam.Tidakkah sepatutnya Amerika bergembira kerana di setiap negara tersebut dipimpin oleh diktator yang tidak kuat beragama manakala parti pembangkang pula rata-rata inginkan sebuah negara islam yang sudah pasti menjadi musuh Amerika?


 Pendekatan Ahli Sunnah Terhadap Pemimpin Yang Zalim

Apakah keluar menjatuhkan pemerintah dibenarkan oleh Islam?   hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Auf bin Malik yang berkata, bersabda Nabi SAW; yang bermaksud “sebaik-baik pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu sayangi mereka, dan mereka menyayangi kamu. Kamu menunaikan solat atas mereka, dan mereka menunaikan solat atas kamu. (adapun) sejahat-jahat pemerintah kamu adalah mereka yang kamu marah, dan mereka marah kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Berkata (Auf), kami berkata : Wahai Rasulullah SAW; apakah kami boleh menyerang mereka dengan pedang? Berkata (nabi) ; tidak boleh, selama mereka menunaikan solat[7]”

Tentu ramai yang pernah dengar kisah Hajjaj yang pernah memerintah Madinah dengan begitu zalim dan bertintak membunuh beberapa sahabat nabi yang dirasakan menggugat kedudukannya. Ketika hajjaj menawan kota Makkah dan menjadi imam solat, para sahabat solat dibelakangnya antaranya Abdullah bin Omar. Para sahabat memahami Islam sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, mereka bukan sahaja tidak memerangi atau menjatuhkan Hajjaj malah bersolat dibelakangnya.

Imam Ahmad bin Hambal pernah dipenjarakan dan diseksa oleh pemerintah yang zalim lalu datang rombongan demi rombongan berjumpa dengan beliau untuk meminta persetujuan memerangi pemerintah ketika itu lalu jawab Imam Ahmad "menjatuhkan pemimpin bukan caraku dan cara sahabat nabi, 60 tahun berada dibawah pemerintahan yang zalim lebih baik dari satu hari tiada pemerintah" sedangkan ketika itu pengikut Imam Ahmad begitu ramai dan mampu menjatuhkan kerajaannya ketika itu. Imam Ahmad dibebaskan setelah berganti pemerintah yang baru. Beliau diseksa setiap hari namun untuk keluar memerangi pemerintah tidak sekali.

Lihatlah di Iraq ketika dipimpin oleh Saddam Hussein yang begitu kejam dan zalim. Beliau bertindak menangkap dan menjatuhkan hukuman mati terhadap sesiapa sahaja yang menentangnya, entah berapai ramai ulamak yang mati dihukum olehnya, entah berapa ramai orang awam yang tidak bersetuju dengannya dipenjara, entah berapa banyak duit rakyat yang dikautnya, namun apabila Saddam Hussein dijatuhkan ternyata Iraq menjadi lebih teruk, Iraq bermandi darah setiap hari. Peperangan antara sesama Islam terus berlaku sehingga ke hari ini.

Begitu juga di Indonesia apabila revolusi untuk menjatuhkan Suharto berjaya, pada hari kejatuhan Suharto republic itu menjadi huru hara walaupun hanya dua hari tiada pemerintah, dan sehingga kehari ini walaupon silih berganti pemerintah, negara itu tetap belum stabil setelah hampir 10 tahun kejatuhan Suharto.

Nasihatlah pemimpin yang zalim, tegurlah mereka dengan hikmah. Taatlah atas perintah mereka selagi tidak bertentangan dengan agama, bersabarlah atas kezaliman mereka. Sesungguhnya setiap pemimpin ada maruahnya sendiri dan tidak boleh memalukan dia di jalan-jalan sehingga seluruh dunia melihatnya, mengaibkan pemerintah sama seperti mengaibkan negara sendiri. Pemimpin itu ada maruah dan egonya yang tinggi. Bukan sahaja ketua negara, ketua keluarga pun punya ego yang tersendiri, patutkah suami sebagai ketua keluarga dimalukan, dicerita aibnya pada orang ramai atau nasihat dia dengan cara yang hikmah?. Sesungguhnya pemimpin kita dipilih dari kalangan kita, jika kita bertaqwa maka Allah akan keluarkan pemimpin yang bertaqwa untuk kita dan begitu juga sebaliknya. Renung-renungkanlah

No comments:

Post a Comment